KUALA LUMPUR: Serangan udara bertalu-talu rejim Israel terhadap Gaza sejak beberapa hari lepas menyukarkan misi bantuan kemanusiaan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam membantu penduduk Palestin pada bulan Ramadan. Dua NGO, Aman Palestine dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia memberitahu Bernama usaha mereka menghantar barang keperluan seperti makanan, pakaian dan perubatan terjejas ekoran serangan itu dari segi logistik dan pengangkutan selain masalah komunikasi. Sambil mengecam dan mengutuk serangan itu, dua NGO itu menyifatkan usaha bantuan kemanusiaan yang telah dirancang selama ini perlu diubah dan memerlukan pelan tindakan lain. Presiden GPM Mohamad Raimi Abd Rahim berkata pihaknya sebelum ini telah menghantar bantuan untuk persiapan Ramadan bagi kira-kira 1,000 penduduk Gaza dan bantuan fasa kedua dijadual dihantar dalam masa terdekat. "Projek kita dengan rakan hubungan di sana adalah berterusan, tidak bermusim namun apa yang berlaku sekarang memberi kesan memandangkan keadaan getir dan situasi tidak menentu. "Kita telah menyiapkan bantuan untuk fasa kedua ini, sepatutnya dijangka dihantar pada 15 Julai ini. Kita harap keadaan kembali stabil untuk memudahkan proses penghantaran," katanya. Dilaporkan ratusan serangan udara dilancarkan rejim Israel sejak beberapa hari lepas ke Gaza mengorbankan dan mencederakan ratusan individu dan orang awam termasuk kanak-kanak. Mengulas jaringan kerjasama antara NGO tempatan dan di Gaza, Mohamad Raimi berkata kebersamaan mereka semakin kukuh serta baik menerusi projek jangka panjang seperti pembinaan infrastruktur untuk kemudahan penduduk Palestin. "Setakat ini sudah ada hampir 10 NGO tempatan yang betul-betul berada dan bekerja di lapangan setiap waktu termasuk untuk krisis di Afganistan, Bosnia dan Syria," katanya. Dalam pada itu, Pengarah Media Aman Palestine, Anas Abdul Wahab berkata serangan udara rejim Israel ini sememangnya telah dijangkakan berdasarkan pengalaman dan sejarah lepas. "Kita ada maklumat dari rakan kita di sana. Dalam keadaan sekarang, keadaan sangat terdesak dan mereka memerlukan bantuan kita secepat mungkin. Apa yang kita boleh buat adalah salurkan dana untuk pembelian perubatan, makanan dan pakaian. "Kita telah menghantar dana sebanyak RM500,000 ke sana baru-baru ini untuk persiapan Ramadan dan melihat pada serangan terbaru, kita sasar untuk dapatkan RM5 juta menerusi Tabung Kecemasan Gaza yang telah dilancarkan sebelum ini," katanya. Jelasnya, untuk maklumat lanjut, pihaknya boleh dihubungi menerusi www.amanpalestine.net selain orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai krisis tersebut atau menderma bagi membantu penduduk Palestin tersebut.