KUALA LUMPUR: Seramai 35 artis veteran menerima sumbangan sebanyak RM2,000 seorang sebagai penghargaan di atas sumbungan mereka kepada industri hiburan dan negara. Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave berkata, jasa penggiat seni dalam membangunkan negara serta menyatukan rakyat merupakan satu sumbangan besar yang perlu diberi perhatian. "Jadi mengapa tidak kita berikan mereka penghargaan ini," katanya pada Majlis Iftar bersama YA1M dan penyampaian sumbangan sempena Aidil Fitri di sini baru-baru ini. Antara artis veteran yang menerima sumbangan termasuk pelakon drama Afida Es, penyanyi dan penulis lirik Teoh Soon Hin serta pemuzik, Karmegam Vellaisamy. Selain itu pada majlis sama, pelakon dan pengarah Datuk Rahim Razali menerima Anugerah Khas YA1M 2013 di atas sumbangan beliau dalam industri perfileman dan drama tanah air selain sebagai pengacara dan pengulas sukan.