SERAMAI 40 kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Nur Hikmah diraikan oleh pusat beli-belah Alamanda dengan bantuan pembelian pakaian raya. Mereka yang terdiri daripada kanak-kanak berusia antara empat dan 17 tahun teruja dapat memilih sendiri baju raya mereka untuk dipakai pada pagi raya, diiringi oleh pasukan pengurusan Alamanda. Kanak-kanak ini diberikan RM100 setiap seorang untuk membeli-belah di AEON Big, Alamanda manakala rumah anak yatim itu diberikan kad AEON Big bernilai RM2,500 untuk membeli barangan keperluan. Mereka kemudian dihiburkan dengan persembahan Qasidah, seni hiburan masyarakat Arab oleh Wariseni Budaya. Kanak-kanak juga mendengar sesi tazkirah Ramadan dengan penuh perhatian dan keinsafan. Rakan kongsi Alamanda turut menyertai usaha pusat beli-belah itu untuk memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak berkenaan dengan menyumbang beg cenderahati, hamper makanan dan sumbangan wang tunai. Rakan-rakan runcit yang mengambil bahagian termasuklah Parkson, AEON Big, Cold Storage, Golden Screen Cinemas (GSC), Mothercare, Gulyn, Toys R Us, Cosway, Cempaka Sari Florist, First Million Avenue Money Changer, Salina'z Beauty, Omar Ali, Chakri Xpress, The Manhattan Fish Market dan Choc Boutique. Sementara itu, penghibur Wariseni Budaya yang dijemput untuk tampil di Alamanda juga menyumbangkan hamper makanan. Pengetua Rumah Anak Yatim Nur Hikmah Osman Ahmad mengucapkan terima kasih Alamanda dan pasukan pengurusannya yang meraikan dan memberikan kebahagiaan kepada penghuni rumah tersebut.