KUALA LUMPUR: Sebanyak 70 anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha di Pinggiran Batu Caves diraikan pada majlis berbuka puasa anjuran Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) di sini malam Jumaat. Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Datuk Abdul Rahim Hassan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pertubuhan itu bagi membantu meringakan beban mereka yang menetap di dua buah rumah sewa di Gombak yang tidak diselenggarakan dengan baik dan tidak dilengkapi perabot yang sempurna. Menurut DDEC dalam satu kenyataan di sini, ini adalah kerana pertubuhan itu tidak menerima sebarang penajaan dan sumbangan dana yang tetap. Segala kos operasi dibiayai oleh orang ramai melalui wakaf dan sedekah di mana aliran wang masuk adalah tidak menentu. Menurut DDEC, orang ramai atau badan korporat yang ingin menderma boleh ke pertubuhan itu di alamat No. 5 Jalan GP 3/3, Taman Gombak Permai atau menyumbang bantuan kewangan menerusi akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Nasuha di no akaun 564829000530.