suria

Malaysia Masih Komited Cari Pesawat MH370 - Liow

Liow Tiong Lai. - foto NORAFIFI EHSAN/THE STAR
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan yang baharu Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan Malaysia masih komited dengan misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dan akan meneruskan misi itu.

Liow berkata beliau akan ke China dan Australia bermula minggu depan untuk bertemu rakan sejawat beliau dan membincangkan misi mencari itu.

"(Menteri Pertahanan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah mengumumkan yang kami akan mengerahkan aset-aset baharu ke kawasan baharu pencarian, oleh itu saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Yang Chuantang (Menteri Pengangkutan China) minggu depan untuk bincangkannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Diploma 2014 Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARC) di sini, Sabtu.

Liow berkata beliau akan berlepas ke China selepas mengumpulkan semua maklumat daripada pegawai relevan di sini dan kemudian akan melawat Australia untuk mengadakan pertemuan dengan wakil dari ketiga-tiga negara untuk membincangkan tindakan seterusnya bagi misi mencari.

Pad 26 Jun, seorang pegawai Australia mengumumkan kawasan baharu misi pencarian pesawat MH370 akan dipindahkan lebih jauh ke selatan di selatan Lautan Hindi, dengan misi itu dijangka dijalankan bagi tempoh kira-kira setahun.

Lokasi baharu itu, bagaimanapun masih dalam lingkungan kawasan pesawat Boeing 777-200 itu yang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal, kali terakhir berhubung dengan satelit Inmarsat sebelum hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. 

Terdahulu, Liow yang juga Pengerusi Lembaga Gabenor dan Pemegang Amanah TARC menyampaikan diploma kepada sebahagian daripada 3,326 graduan TARC dengan 48 daripada mereka merupakan pemenang anugerah Book Prize Award. 

Menurutnya, TARC kini menawarkan program ijazah selepas dinaikkan status kepada kolej universiti pada Mei 2013 dan akan lebih fokus kepada pengajian teknikal dan vokasional.

"Sebagai sebahagian pelan pendidikan MCA, kami berharap untuk membantu profesional dengan mengeluarkan lebih banyak graduan dalam bidang teknikal dan vokasional," katanya.
MH370, Liow Tiong Lai

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan