KUALA LUMPUR: Dua beradik yang bekerja sebagai pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan cedera terhadap tiga lelaki pada Jun lepas. C. Geeva, 36, didakwa mendatangkan cedera parah terhadap M. Gunasegaran, 34, sehingga mangsa menerima sembilan jahitan di kepala dan N. Supumania, 35, yang mendapat 15 jahitan di kepala dengan menggunakan 'car-jack' di Perhentian teksi, tepi jalan besar Warta lama di Sentul, di sini pada 2.30 pagi 28 Jun lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sementara itu, abangnya C. Raman, 39, didakwa mencederakan V. Vijaindran, 30, dengan menggunakan rotan panjang di tempat, tarikh dan waktu yang sama. Raman dituduh mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Majistret Zuraini Abdul Razak membenarkan Geeva diikat jamin RM3,600 dengan seorang penjamin manakala Raman RM1,800 dengan seorang penjamin. Hanya Geeva membayar jaminan itu. Terdahulu, Geevan dan Raman yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah atas alasan mereka perlu menyara keluarga masing-masing. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad dan mahkamah menetapkan 14 ogos depan untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.