PETALING JAYA: Kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke kediaman Menteri Besar Selangor baru-baru ini menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila ia dikatikan dengan desakan supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur daripada jawatan tersebut secepat mungkin. Mengesahkan mengenai kunjungan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun menolak sebarang spekulasi kononnya wujud perbincangan mengenai masa depan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. Jelas Mustafa, pertemuan menjelang lewat malam Sabtu lalu itu lebih kepada perjumpaan sosial bagi 'melepaskan rindu'. "Tok Guru (Abdul Hadi) hanya buat ziarah puasa. Tan Sri Khalid lama tak jumpa Tok Guru. Dulu waktu di hospital Tan Sri ada ziarah. "Jadi bila Tok Guru sudah keluar hospital, mengapa tidak (ziarah Tan Sri Khalid)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin. Ditanya sama ada kedua-dua pemimpin tersebut menyentuh mengenai isu membabitkan kepimpinan Abdul Khalid, Mustafa yang turut menyertai kunjungan itu menafikannya. "Kita pergi pun sudah pukul barapa...pukul 11 malam. Kalau nak bincang isu ni (kedudukan Abdul Khalid) mesti panjang. "Tapi biasalah orang politik bincang macam-macam, tapi bukan isu tersebut," katanya. Beliau mengulas mengenai gambar yang dimuat naik Abdul Khalid di laman Facebooknya pada Ahad lalu mengenai pertemuannya dengan Abdul Hadi di kediamannya pada Sabtu malam. "Berbual santai bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam," demikian tulis Abdul Khalid. Sebelum ini Abdul Hadi pernah menafikan dakwaan kononnya beliau terbabit dalam komplot untuk menggulingkan Abdul Khalid dari kedudukan Menteri Besar Selangor. Tegas Abdul Hadi, beliau tidak pernah terbabit dalam mana-mana perbincangan berhubung perkara itu, termasuk ketika kunjungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk melawatnya baru-baru ini.