SEMPORNA: Jenazah anggota polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan yang terbunuh dalam serangan hendap di Pulau Mabul pada Sabtu malam, selamat dikebumikan di kampung halaman, Kampung Bubul Batu di sini dengan penuh istadat penghormatan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Isnin. Jenazah dibawa dari bilik mayat Hospital Tawau pada lewat malam tadi ke rumahnya dan disembahyangkan pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bubul Batu, Jalan Batu 3 1/2, di sini. Suasana pilu turut disertai hujan renyai-renyai ketika upacara pengebumian yang dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada keluarga terdekat, kenalan rapat dan anggota polis bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ab Rajah. Terdahulu, keranda jenazah yang dibaluti bendera Jalur Gemilang dibawa dari rumah keluarga Allahyarham serta diusung enam anggota polis Marin yang juga rakan Allahyarham. Turut hadir, Komander PolisMarinBukit Aman DatukAbdulAziz Yusof, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Malik Harun, Ketua Polis Semporna Supt Mazlan Lazimdan Ketua Polis Tawau ACP Awang Besar Dullah. Isteri Allahyarham, Salamah Amad, 26, yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita berkata beliau berbangga merelakan pemergian arwah sebagaimana yang pernah disuarakan impiannya untuk sanggup berkorban demi tanah air. "Saya redha dia pergi...memang niat dia ingin mati berjuang untuk negara kerana masa kejadian Tanduo (Lahad Datu) dia memberi nama untuk ke Tanduo, tetapi arwah ditugaskan di Sandakan," katanya sambil menambah ketika itu beliau sedang mengandungkan anak lelaki sulung yang akan memasuki usia setahun pada 26 Julai ini. Menceritakan mengenai latar belakang suami, anak jati Tawau itu berkata Allahyarham Ab Rajah merupakan seorang insan yang bersemangat juang tinggi sejak berkhidmat sebagai polis pada 2004. "Kalau orang lain boleh kuat, kenapa saya tidak?, saya boleh menjadi sekuat itu merelakan pemergian arwah demi negara ini. "Saya tahu dia pun gembira mati syahid di syurga kerana selepas bedah siasat selesai dan dicuci bersih semalam saya amati wajahnya kelihatan tersenyum gembira," katanya yang menyatakan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar bertugas di Pulau Mabul, Jumaat lepas. Sementara itu, bapa Allahyarham Jamuan Ajuan, 70, yang masih terkejut dengan hakikat kehilangan anak keempat daripada enam beradik itu akur dengan suratan Ilahi kerana arwah amat meminati bidang kepolisan. "Ibu arwah, Kamsiah Indanan kini amat bersedih kehilangan anak tersayang tetapi kami redha dia meninggal ketika bertugas untuk mempertahankan negara," katanya. Sepupu Allahyarham, Noor Hani Mokhtar, 37, pula menyifatkan pemergian Allahyarham memberi tamparan hebat kepada keluarga selepas kematian seorang lagi sepupu akibat penyakit kronik, Jumaat lepas. "Arwah memang seorang yang pendiam dan tidak pandai untuk bercerita dengan keluarga walaupun mempunyai masalah, malah dia memang seorang yang fokus dalam kerjayanya," katanya. Beliau berkata arwah sendiri menawarkan diri untuk berpindah ke negeri kelahirannya selepas permohonan dibuka kepada mana-mana anggota untuk berkhidmat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dan permohonan berjaya dalam masa sehari. Allahyarham Ab Rajah, 32, yang berasal dari Semporna bertugas sebagai jurumudi kapal rondaan air 1, di Balai Polis Pulau Mabul dan pernah bertugas di Kampung Acheh Perak kira-kira setahun yang lalu sebelum berpindah ke Semporna. Dalam kejadian pada 11.10 malam Sabtu lepas, seorang lagi rakan sekerja yang juga anggota Marin, Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di pulau itu.