PUTRAJAYA: Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor merayu supaya Konstabel Zakia Aleip yang dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul Sabtu lepas, dikembalikan kepada keluarganya. "Saya sebagai ibu dan isteri memahami perasaan isteri Zakia. Saya merayu kepada kumpulan penculik itu ingatlah konstabel mempunyai anak dan isteri. "Jangan sebab hendak kepuasan diri sampai sanggup melakukan penculikan tersebut," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga dan waris Perwira Negara Lahad Datu, kru pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas dan keluarga anggota tentera di sini, Selasa. Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) meminta isteri Zakia serta rakyat Malaysia supaya terus mendoakan anggota polis itu dapat pulang dengan selamat bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang. Insiden serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Mabul Water Bungalow Resort, Pulau Mabul di Semporna, Sabah Sabtu malam lepas mengorbankan anggota Pasukan Polis Marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, manakala rakan setugasnya Zakia, 26, dilarikan. Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Zakia ada menghubungi isterinya, Sharifah Erna Berson pada Ahad malam memaklumkan beliau masih hidup dan kini berada bersama beberapa orang. Pada majlis itu, Biro Kebajikan Umno dan Bakti menyampaikan sumbangan berjumlah RM290,00 kepada 39 orang termasuk balu, waris serta anggota polis dan tentera yang cedera. Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata masing-masing menerima sumbangan antara RM5,000 sehingga RM20,000 manakala balu mangsa serang hendap di Pulau Mabul serta dua balu insiden kereta perisai terbalik di Kuala Kangsar, Perak masing-masing menerima RM20,000. Sementara itu ketika diminta mengulas pertemuan beliau dan Rosmah dengan waris kru MH370 selepas majlis itu, Abdul Azeez berkata mereka meminta dua perkara, pertama supaya bantuan kewangan diberikan tidak diumumkan untuk mengelakkan keselamatan tergugat. Perkara kedua adalah supaya semua filem tentang insiden kehilangan pesawat MH370 tidak ditayangkan kerana ia akan menyentuh sensitiviti waris kru kerana perkara sebenar yang berlaku pada pesawat itu masih tidak diketahui, katanya.