KUALA LUMPUR: Seorang ekspatriat warganegara Australia ditemui mati tergantung dalam rumahnya di Jalan Mont Kiara 1, di sini, menurut polis. Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata, pengarah urusan sebuah syarikat pengeluar makanan berumur 40-an itu ditemui tergantung dalam bilik tidurnya oleh pembantu rumahnya pada pukul 6.45 petang Isnin. "Kira-kira pukul 8 malam, polis tiba di alamat berkenaan dan menemui lelaki itu mati dengan kabel elektrik di lehernya di dalam sebuah bilik," katanya di sini, Selasa. Katanya, polis juga menemukan sepucuk nota, dipercayai ditulis oleh lelaki terbabit kepada anak dan isterinya yang tinggal di Belanda. "Nota itu bersifat peribadi dan polis tidak dapat mendedahkannya," katanya. Muhammad Azlee berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan telah dimaklumkan kepada Suruhajaya Tinggi Australia. Katanya, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.