PETALING JAYA: Pengalaman kanak-kanak berpuasa sudah pasti mencuit hati, lebih-lebih lagi jika ia kali pertama mereka berpuasa. Jika kanak-kanak yang sebaya dengannya agak 'letih dan tidak bermaya' ketika Ramadan, lain pula ragamnya bagi Muhamad Darwisy Mydin. Kanak-kanak berusia tujuh tahun ini sudah dilatih berpuasa oleh ibunya, Saidatul Akmal Mohammad Hussain sejak anak sulungnya itu setahun lebih muda dari sekarang. Nyata dia tidak kekok berpuasa, walaupun mengakui agak letih, terutamanya ketika pulang sekolah. Bukan itu sahaja, kata Darwisy, cabaran paling besar apabila rakan sekolah yang bukan beragama Islam dengan selamba makan dihadapannya. "Memang sukar untuk menghalang kawan-kawan makan didepan kita pada waktu rehat, kerana dalam kelas ada kawan yang berlainan bangsa. "Tapi sebab Umi pesan supaya saya puasa dan ada duit raya yang menanti, saya kuatkan juga semangat," katanya kepada mStar Online melalui aplikasi siber baru-baru ini. Darwisy yang lebih manja dengan panggilan Awisy berkata, ibunya yang dipanggil Umi itulah yang menjadi pendorong utama yang mengajarnya berpuasa. Kueh teow goreng antara makanan kegemaran Awisy ketika berbuka. "Memang pada mulanya agak susah, lebih-lebih lagi pada musim panas seperti sekarang. Balik dari sekolah pasti saya akan cakap dengan Umi "lama lagi tak waktu buka puasa." "Ummi akan suruh saya sabar dan baring. Kadang-kadang, saya terlupa hingga sering membuka peti ais kerana dahaga sangat," ujarnya yang menggemari roti canai pada Ramadan. "Menu wajib pada bulan puasa adalah roti prata (roti canai), kueh teow goreng, agar-agar dan nasi lemak pandan dengan ayam goreng rempah," katanya. Biarpun berpuasa, anak kecil ini tidak mengehadkan aktiviti lapangnya dengan berehat sahaja di rumah, sebaliknya turut pergi berenang dan bermain basikal jika ada masa terluang. Ditanya sama ada dia akan menerima duit raya, Darwisy yang tinggal di Singapura mengakui, ibu bapanya akan memberi 'upah' jika dia dapat berpuasa penuh. "Selain Umi janji nak beri duit raya. Yang paling best, waktu buka puasa sebab banyak hidangan dapat kita makan," katanya mengakhiri perbualan.