suria

Mat Dang Kini Lebih Bersedia Hadapi Cabaran Puasa

Mohammad Kareef
KUALA TERENGGANU: Jatuh hati dengan suasana di negara ini dan suka bergaul dengan rakan dalam kalangan masyarakat Melayu mendorong Mohammad Kareef Daniel Abdullah memeluk Islam tahun lalu.


Pemuda berusia 24 tahun dan berasal dari Bristol, England itu berkata, beliau kini mampu dan lebih bersedia menghadapi cabaran berpuasa.

Lebih selesa dengan panggilan "Mat Dan' dan fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu, beliau mengakui tidak larat dan hanya sempat berpuasa penuh beberapa hari sahaja ketika pertama kali melakukan ibadah itu tahun lepas.

"Saya masuk Islam Januari 2013 dan tiada paksaan pun dari mana-mana sebab saya suka tinggal di sini dan bergaul dengan rakan Melayu.

"Semasa saya menyatakan hasrat hendak masuk Islam, merekalah yang bantu dan dan memberi dorongan," katanya yang telah lima tahun berada di Malaysia dan kini menetap di Pulau Kapas, Marang.

Menurutnya, ketika menyatakan hasrat mahu memeluk Islam kepada keluarganya di England, ibu bapanya menerima pilihan hidupnya dengan hati terbuka dan mereka juga sering datang melawatnya.

"Emak ayah saya jenis berfikiran terbuka dan mereka hormati dan terima pendirian saya. Malah mereka sering datang ke sini melawat saya tiap kali cuti.

"Malah bila saya bersolat atau buat sebarang aktiviti, mereka akan turut serta dan memang takkan lupa rakam gambar kenangan dan menyenangi kehidupan saya hidup dalam kalangan orang Melayu," akuinya yang kini sedang mendalami ilmu agama Islam dan berhasrat mengahwini gadis Melayu suatu hari nanti.

Sementara itu, Mohd Asmawi Tan Abdullah, 55, dari Kuala Berang, Hulu Terengganu ketika ditemui Bernama berkata, beliau terdetik untuk memeluk Islam sejak berumur 24 tahun kerana dia dibesarkan dan bergaul dengan masyarakat Melayu sejak kecil di sebuah kampung di Paka, Dungun.

"Saya masuk Islam kerana saya tertarik dengan cara ajaran Islam selain tidak nafikan juga rakan-rakan banyak mendorong saya mendalami agama Islam seawal saya berusia kanak-kanak," katanya dan menurutnya isterinya Melayu.

Beliau yang bekerja di kilang papan di Ajil berkata, beliau merasakan ketenangan sejak memeluk Islam dan masih berhubungan baik dengan saudara-maranya yang bukan Islam.

"Tiap kali sambutan raya, rumah saya pasti akan dikunjungi saudara saya. Begitu juga kalau Tahun Baru Cina, kami sekeluarga akan pergi beraya ke rumah mereka dan ia sudah menjadi amalan saya dan isteri serta anak-anak saya juga," katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Seramai 750 saudara baharu Islam dari seluruh Terengganu termasuk masyarakat Orang Asli diraikan pada Majlis Iftar Perdana dan Penyampaian Bantuan Ramadan Saudara Baharu di sebuah hotel di sini malam Khamis.

Majlis anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diperkenalkan sejak 2012 itu juga turut dihadiri guru Kelas Bimbingan Saudara Baharu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Mohd Rozali Salleh.

Pada majlis tersebut, kerajaan negeri menerusi Maidam memperuntukkan sebanyak RM480,000 untuk bantuan Ramadan tahun ini kepada golongan mualaf termasuk Orang Asli.

Setiap saudara baharu menerima RM300 seorang dan tambahan RM50 bagi setiap tanggungan manakala setiap ketua isirumah masyarakat Orang Asli menerima RM400. Kini kira-kira 2,300 mualaf berdaftar dengan Maidam.


Artikel Lain