suria

Edar Dadah, Warga Nigeria Dihukum Gantung

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej swasta warga Nigeria dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 26.533 kilogram, empat tahun lepas.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan tertuduh Uchechukwu Nelson Ohaechesi, 37, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Amelia berkata tertuduh secara berhati-hati menafikan dia membawa sebuah beg yang mengandungi dadah berbahaya itu.

"Mahkamah mendapati tertuduh dalam keterangannya tidak bercakap benar. Mahkamah berpendapat pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan berbentuk rekaan.

"Sehubungan itu mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh. Berdasarkan Seksyen 183 Kanun Tatacara Jenayah tertuduh akan digantung di leher sehingga mati," katanya.

Ohaechesi melakukan kesalahan itu di tepi tangga jejantas di lebuh raya Taman Connought menuju Kajang, Cheras di sini pada 7.45 malam, 17 Okt 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P. Viknesvaran manakala peguam Ramzani Idris mewakili tertuduh. 


Mahkamah, Nigeria

Artikel Lain