suria

Inspektor, Ibu Mentua Maut, Kanak-Kanak Parah Dalam Kemalangan

IPOH: Seorang Inspektor polis dan ibu mentuanya maut manakala seorang kanak-kanak cedera apabila kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Gerik-Kuala Rui berhampiran Jalan Timur-Barat awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Beharum berkata dalam kejadian 4 pagi itu, Jafrizan Johan, 34, yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan dan Khadijah Musa, 56, seorang peniaga meninggal di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati kenderaan Proton Exora yang dipandu Jafrizan tiba-tiba terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tanpa muatan," katanya.

Beliau berkata kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tiga tahun itu cedera di dahi dan akan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan lanjut.

Keluarga tersebut dalam perjalanan ke Pasir Mas manakala lori terbabit dari Kelantan menuju Gurun, Kedah.

Abdul Manab berkata jenazah Jafrizan dan Khadijah dituntut waris mereka untuk dikebumikan di Perlis.

Inspektor

Artikel Lain