GEORGE TOWN: "Rasa macam mimpi, dalam sehari saja rumah kami dah bertukar, terlalu gembira, sayu pun ada...tak tahu nak cerita macam mana perasaan ini," itu luahan Nurul Anis, anak kepada Rosman Omar, yang terpilih dalam program Jelajah Ramadan Media Pulau Pinang di Teluk Kumbar di sini. Rosman, 41, berkata, sambutan Aidilfitri mereka 11 beranak tahun ini sangat istimewa berbanding tahun lepas dengan segala kelengkapan rumah serba baharu dan tiada kata mampu diungkap hanya air mata dan ucapan terima kasih yang diulang-ulang sebagai tanda kesyukuran. Rosman dan isteri, Suhaini Ahmad, 36, suri rumah, yang tinggal di sebuah rumah sumbangan Pusat Urus Zakat Pulau Pinang pada 2010, mempunyai sembilan anak berusia dua hingga 18 tahun dan beliau menyara keluarganya hasil pendapatan sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Bayan Lepas. Lima daripada anaknya bersekolah menengah dan rendah bangun seawal 5.30 pagi setiap hari untuk berjalan kaki ke sekolah sejauh lebih tiga kilometer. Semalam, 20 wakil pengamal media daripada pelbagai agensi bergotong-royong mengecat dinding rumah dan membersihkan persekitaran kediaman keluarga berkenaan bermula 2 petang sebelum menyediakan juadah berbuka puasa dan majlis doa selamat. Pengarah Projek Muhamad Shahril Rosli berkata, program tahunan kali kedua itu menyumbangkan keperluan rumah untuk keluarga itu seperti sofa, katil, tilam, tikar getah, almari, mesin basuh, langsir, baju raya dan kuih raya dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah RM15,000. Muhamad Shahril yang juga jurugambar The Star berkata, selain bantuan berbentuk fizikal, pihaknya juga berhasrat membantu anak perempuan sulung Rosman yang baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pelajaran dalam bidang yang diminatinya. "Kami dapat tahu anak sulung Rosman ada mendapat tawaran belajar di beberapa kolej tetapi tidak mampu dan tarikh pendaftaran telah tamat jadi kami akan bantu dia buat permohonan di institusi lain...buat masa ini dia membantu keluarga dengan bekerja di kedai runcit," katanya. Pengarah Projek II K. Ganeson berkata, beliau berasa terharu apabila melihat sembilan beradik itu hanya tidur di atas simen sejuk tanpa bantal dan selimut dalam tinjauan wakil media ke rumah keluarga itu sebelum ini. "Rumah mereka kosong, jangankan perabot, satu tikar lusuh pun tiada. Saya sedih, masih ada lagi orang yang tinggal dalam serba kekurangan pada masa sekarang," katanya. Ganeson, 49, jurugambar Bernama menyifatkan program itu sebagai berjaya dan sumbangan yang diterima daripada orang persendirian, ahli korporat termasuk rakan media sendiri di luar jangkaan sehingga melebihi sasaran kutipan.