RAUB: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menggesa umat Islam di negara ini supaya mengukuhkan ukhwah dalam menghadapi pelbagai cabaran dan cubaan memecah-belahkan umat Islam. "Kita perlu bersatu padu menjaga dan terus mempertahankan kesucian serta kepentingan agama Islam supaya ia tidak digugat oleh mana-mana musuh Islam," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada anak yatim, orang kurang upaya, asnaf, dan golongan miskin di Kampung Ulu Sungai, dekat Batu Malim Raub, Selasa. Titah baginda, rakyat tanpa mengira bangsa di negara ini juga perlu menjadikan serangan yang berlaku terhadap Palestin serta pergolakan di beberapa negara di Timur Tengah sebagai pengajaran. "Serangan dan peperangan hanya akan membawa kemusnahan sekaligus menyebabkan penderitaan kepada rakyat serta melumpuhkan ekonomi negara. "Kita patut bersyukur kerana mampu hidup bebas tanpa sebarang sekatan, serangan dan peperangan selain dapat menunaikan ibadat agama masing-masing dengan tenang," titah baginda.