KUALA LUMPUR: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Terengganu menyelamatkan kapal tangki minyak MT Oriental Glory yang ditawan lanun semalam di sekitar perairan timur Johor di Laut China Selatan. Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Pertahanan berkata kapal itu yang membawa muatan 2,500 tan metrik minyak gas marin, ditawan lanun 11.45 malam dan ditemui semula awal pagi Rabu. Menurut kenyataan itu, sekumpulan lanun mencuri muatan minyak dan merosakkan peralatan navigasi kapal sebelum meninggalkan kapal. "KD Terengganu yang melakukan rondaan di perairan Batuan Tengah, Johor diatur gerak serta-merta sebaik maklumat diterima 10.30 pagi tadi. KD Terengganu tiba di lokasi dua jam kemudian dan berjaya menghubungi MT Oriental Glory melalui radio," menurut kenyataan itu. Dalam pada itu, Tim Penyiasat KD Terengganu memaklumkan sauh kapal MT Oriental Glory yang dilabuhkan oleh kumpulan lanun itu tidak dapat dinaikkan kerana kapi sauh (mesin menaik dan menurunkan sauh) telah dirosakkan. KD Terengganu sedang membantu menggerakkan kapal terbabit ke persisiran pantai memandangkan kapal mengalami kerosakan akibat insiden tersebut, kata kenyataan itu. Pada 14 Jun lepas, KD Terengganu turut berjaya menyelamatkan kapal tangki minyak MT Ai Maru yang ditawan lanun di selatan Pulau Aur, Mersing. Kapal milik Singapura itu yang membawa minyak gas marin ditawan lanun kira-kira 30 batu nautika selatan Pulau Aur pada 8.30 pagi dan diselamatkan 1.40 pagi pada 15 Jun.