PETALING JAYA: Bazar Ramadan Seksyen 17 di sini menawarkan pelbagai jenis makanan yang jarang didapati di tempat lain. Bazar itu yang terletak berhadapan Jaya One, menghimpunkan makanan tradisional yang mungkin sukar ditemui di tempat lain di Lembah Klang. Anak kelahiran Kelantan, Wak Rohani Ismail, 38, merupakan salah seorang peniaga di bazar berkenaan, menjual sira pisang dan sira labu, pencuci tradisional dari negeri itu. Pencuci mulut ini diperbuat daripada gula sirap yang bersalut dengan pisang dan labu dan dipanaskan. "Ada yang sanggup datang ke gerai saya untuk mendapatkan sira kerana mereka tidak menemuinya di tempat lain," kata Rohani. Salah seorang peniaga yang turut menjual pencuci mulut tradisional ialah Ahmad Taufiq Arishman. Pemuda berusia 23 tahun itu menjual kuih Sumatera, seperti kuih apam. "Ia dijual di semua tempat di Sumatera, jadi saya mahu ia turut diperkenalkan di kalangan rakyat Malaysia," kata Ahmad, sambil menambah bahawa dia menggunakan resipi lama daripada keluarganya untuk membuat kuih itu. Dia mula menjual kuih berperisa kastard selama empat tahun di pasar-pasar malam dan bazar-bazar Ramadan. Sementara itu, peniaga, Robiana Budi, 23, menawarkan makanan yang lebih eksotik kepada para pelanggan bazar iaitu tongkek dan pedal ayam. Tongket ayam dan pedal ayam diperam dalam madu lebah liar, serai, serbuk kari dan lengkuas selama beberapa jam sebelum dipanggang. "Makanan yang saya jual ini merupakan makanan istimewa dari 'Malaysia Timur' dan ia tidak mudah ditemui di Lembah Klang," kata Robiana.