KEMAMAN: Petronas Wilayah Pantai Timur memperuntukkan RM100,000 untuk membantu 100 ibu tunggal di kawasan Dewan Undangan Negeri Kemasik dan Paka untuk menyambut Aidilfitri. Separuh daripada peruntukan itu disumbangkan oleh warga Petronas menerusi Program Sentuhan Kasih Ramadan 2014. Pengurus Besarnya Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata Petronas menyediakan hamper dan duit raya manakala sumbangan kakitangan Petronas untuk kelengkapan pakaian raya. "Untuk satu keluarga kita peruntukkan RM500 dan kakitangan Petronas akan membawa ibu tunggal serta anak-anak ke pasar raya untuk membeli pakaian raya. "Selepas membeli pakaian raya, kita raikan mereka pada majlis berbuka puasa, dan kita beri mereka duit raya sebanyak RM500 setiap keluarga," katanya kepada pemberita pada majlis Program Sentuhan Kasih Ramadan 2014 di Masjid Kampung Labohan Kerteh di sini semalam membabitkan 65 ibu tunggal di kawasan Kemasik. Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Zubir Embong. Wan Mohd Hasnan berkata, program yang dijalankan sejak tahun 2005 tersebut bertujuan membantu meringankan beban golongan ibu tunggal di samping mengeratkan hubungan antara warga Petronas dengan masyarakat setempat. Seorang penerima sumbangan itu, Norizan Mustaffa, 50, dari Kampung Gelugor, Kerteh berkata beliau berterima kasih kepada Petronas yang banyak membantunya dalam persediaan menyambut Aidilfitri ini. "Memang banyak yang Petronas berikan, dia orang bagi baju raya untuk kak dan anak-anak, beri duit kemudian beri kuih raya lagi. "Kak baru kehilangan suami pada September tahun lepas, raya tahun ni rasa tak lengkap sebab tanpa suami dan kak pun tak bekerja...syukur, bila dapat bantuan Petronas ni, kak tak perlu fikir lagi nak beli semua kelengkapan raya ni," katanya yang mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah. Aliati Sidek, 39, berkata, sumbangan yang dihulurkan oleh Petronas tersebut sangat bermakna buat dirinya dan sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya untuk membuat persiapan Aidilfitri. "Alhamdulillah, dengan adanya bantuan yang diberikan ini, saya dah tak perlu fikir lagi nak beli pakaian raya saya dan anak-anak, tak perlu fikir lagi nak beli kuih raya dan sebagainya," kata ibu tunggal itu yang bekerja sebagai pembersih pejabat di Kemasik dengan gaji RM900 sebulan. Program penyampaian sumbangan untuk 35 keluarga ibu tunggal di kawasan Paka akan diadakan Sabtu ini.