PETALING JAYA: Wanita yang mengamuk selepas keretanya secara tidak sengaja dilanggar warga emas baru-baru ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia pada pagi Khamis. Dikenali sebagai Kiki, dia meluahkan rasa kesal atas kejadian di Kuantan, Pahang itu menerusi siaran langsung radio Era FM pada pukul 7.45 pagi Khamis. "Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, itu memang salah saya dan tidak akan buat lagi. Saya belajar dari kesilapan," katanya yang mengakui buat pertama kali membuat permohonan maaf secara terbuka itu ketika dijemput ke studio radio berkenaan. Kiki atau nama sebenarnya, Siti Fairrah Ashykin dikenali ramai berikutan video beliau mengamuk dan melemparkan kata-kata kesat terhadap seorang warga emas yang secara tidak sengaja melanggar kereta mewahnya menjadi 'Trending' di laman Twitter, Facebook dan Blog. Kiki juga berharap semua pihak tidak percaya dengan apa yang disiarkan menerusi laman sosial kerana dia kita tidak lagi mempunyai Facebook (FB), Twitter, Instagram atau emel kerana ia digodam pihak tertentu dan bukannya datang dari dirinya. "Mulanya saya ingat berdiam diri adalah yang terbaik tetapi bila saya dapati ia menyebabkan ramai pihak terus menghentam perbuatan saya yang memang saya akui salah, jadi saya rasa elok saya tampil dan bersuara. "Sebenarnya, antara saya dan Uncle Sim (Sim Siak Heong) sudah selesai kerana saya sendiri sudah memohon maaf padanya semasa kami bertemu di Balai Polis Trafik Kuantan selepas kejadian itu," katanya. Menerusi siaran radio itu juga, pengusaha pakej perkahwinan itu juga diberi peluang berbicara dgn warga emas berkenaan dan kedua-duanya memohon maaf dan menerima pengakuan masing-masing. "Uncle Sim, saya minta maaf sangat-sangat kepada uncle, aunty dan famili," kata Kiki dengan nada sebak berikutan tindakannya umpama pembuli jalan itu. Memberi responsnya, warga emas berusia 68 tahun itu berkata, beliau memaafkan Kiki atas perbuatannya itu, bagaimanapun sedih kerana pihak polis akan mengambil tindakan terhadap Kiki. "Saya sedih, walaupun sudah maafkan awak tetapi polis tetap nak ambil tindakan terhadap awak dan saya harap awak tidak anggap ia berlaku kerana saya," katanya yang turut mengucapkan selamat berbuka puasa dan Selamat Hari Raya kepada Kiki. Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan akan mengambil tindakan terhadap Kiki.