suria

Kes Baling Kasut: Ibu Bapa Kanak-Kanak 8 Tahun Saman Guru

Sivaraajh memeriksa luka di kepala Sharmini akibat terkena kasut yang didakwa dibaling oleh seorang guru di sekolahnya.
KUALA LUMPUR: Ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mengambil tindakan undang-undang terhadap guru yang membaling kasut ke arah anak mereka kerana bermain di dalam bilik darjah.

Kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson, K Muthtu, 35, dan isterinya, R.Siyamala, 32, dibantu oleh Pemuda MIC untuk mengemukakan saman sivil terhadap guru, sekolah dan Kementerian Pendidikan.

"Anak perempuan saya, M.Sharmini masih mengadu kesakitan dan takut untuk pergi ke sekolah," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Muthtu sedang bekerja apabila guru besar menghubunginya pada Khamis lalu memaklumkan anak perempuannya mengalami kecederaan.

"Saya dalam perjalanan ke sekolah apabila menerima satu panggilan telefon daripada seorang guru yang menyuruh saya pergi ke klinik. Saya bergegas ke sana dan melihat anak perempuan saya dalam keadaan terbaring dengan balutan di kepala.

"Saya diberitahu  oleh guru besar bahawa ada guru membaling kasut ke arah anak perempuannya itu," kata Muthtu.

Mereka kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Port Dickson pada hari yang sama.

Siyamala mendakwa, walaupun guru besar dan beberapa guru datang ke rumah untuk meminta maaf, guru terbabit tidak pernah cuba untuk meminta maaf.

Guru yang mengajar subjek Pendidikan Moral dikatakan gagal mengawal kemarahannya apabila Sharmini dan dua lagi rakannya bermain di dalam kelas.

Guru itu didakwa menjerti dan membuka kasutnya sebelum membaling kasut tersebut ke arah Sharmini sehingga menyebabkan kecederaan di kepala mangsa.

Namun, guru itu didakwa meneruskan pengajarannya walaupun kanak-kanak tersebut mengalami pendarahan di kepala.

Sejak itu, guru tersebut dipindahkan ke sekolah lain sementara menunggu siasatan.

Ketua Pemuda MIC, C. Sivaraajh berkata, mereka membawa kes tersebut ke mahkamah untuk menjadikan ia sebagai pengajaran kepada orang lain.

"Kami mahu memastikan guru-guru yang lain tidak melakukan perkara sama kepada mana-mana pelajar," katanya.


baling kasut, M. Sharmini

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain