suria

Adik Teruja Untuk Pulang Beraya Di Kampung - Abang Mangsa

Md Zaki ketika ditemui pemberita di Anjung Tinjau, KLIA, awal pagi Jumaat.
SEPANG: Abang kepada seorang daripada penumpang pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia, pada Khamis berkata adiknya Md Ali Md Salim, 30, begitu teruja untuk pulang beraya di kampung mereka di Muar, Johor.

Menurut Md Zaki, seminggu sebelum kejadian, adiknya sempat berbual di laman sosial Facebook dan menyatakan hasrat untuk membeli seluar dan kasut untuk semua anggota keluarganya.

"Dia sempat bertanya kepada kami meminta saiz seluar dan kasut untuk dibelinya," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi Jumaat.

Md Ali yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik itu sedang melanjutkan pelajaran dan menyiapkan tesisnya dalam kajian psikologi peringkat Doktor Falsafah (PhD) di salah sebuah universiti di Amsterdam.

"Setelah mendapat berita dari kakak, saya bergegas ke lapangan terbang ini dan pihak Penerbangan Malaysia (MAS) sahkan adik saya adalah salah seorang penumpang pesawat itu," kata Md Zaki.


Penerbangan MH17 yang membawa 295 penumpang dan anak kapal berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di KLIA, Sepang pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari berikutnya.

MH17, MAS

Artikel Lain