suria

Perjalanan Sukar Bagi MAS Untuk Pulih Semula Imej - HLIB

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan menempuh perjalanan yang sukar untuk memulihkan semula imejnya kerana sentimen pengguna bagi rekod keselamatannya akan terjejas teruk dengan dua insiden besar dalam tempoh enam bulan. 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata insiden itu akan menjejaskan lagi harapan syarikat penerbangan itu untuk pulih semula pada 2015. 

Ketika sedang dalam usaha bangkit semula daripada insiden MH370, MAS sekali lagi terjejas oleh satu lagi insiden bencana yang melibatkan penerbangan MH17 ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

Pesawat Boeing 777 terhempas di sempadan Russia-Ukraine, meragut nyawa semua penumpangnya. 

Sama seperti MH370, HLIB menjangka pampasan bagi 298 mangsa MH17 dilindungi oleh insurans. 

"Pesawat itu juga sepatutnya dilindungi oleh insurans. Justeru itu kesan langsung yang minimum kepada aliran tunai MAS," kata bank pelaburan itu dalam satu nota pada Jumaat.

Kaunter MAS akan terus berada dalam tekanan jualan susulan insiden itu dalam tempoh terdekat ini, kata bank itu.

HLIB berkata kaunter berkaitan Malaysia Airports Holdings Bhd juga dijangka terjejas manakala AirAsia Bhd mungkin diterima dengan baik. 

Bank pelaburan itu bimbang dengan kemapanan aliran tunai MAS.

"Dengan jangkaan penurunan besar faktor penumpang dan hasil rendah bagi baki 2014, kami Percaya MAS mungkin perlu mengumpul modal baharu untuk memastikannya ia terus beroperasi pada 2015," kata HLIB. 

Pada akhir suku pertama 2014, MAS memiliki tunai berjumlah RM3.2 bilion dengan kerugian aliran tunai operasi sebanyak RM350 juta dalam suku itu sahaja. 

Pada 10.52 pagi, saham MAS turun 2.5 sen kepada 20 sen dengan 345.36 juta saham bertukar tangan.

MAS, imej, HLIB

Artikel Lain