ALOR GAJAH: Ketua Pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, Mohamad Ghafar Abu Bakar sempat memohon maaf kepada ibunya berikutan tidak dapat pulang berhari raya kali ini kerana bertugas. Maimon Sarpan, 74, berkata tiada siapa menyangka anak sulung daripada tiga beradik itu itu tidak dapat meraikan hari raya bersama-sama keluarga untuk selama-lamanya. "Saya tidak tahu nak cakap apa bila tahu berita ini, hancur luluh hati saya mengenang anak saya itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah di sini, Jumaat. Katanya, Isnin lepas anaknya itu pulang dan berbuka puasa bersama-sama keluarga dan sempat memohon maaf tidak dapat meraikan hari raya bersama kerana akan bertugas ke China. "Anak saya sempat bagi duit raya kepada anak buah dia dan saya sendiri kerana tahu dia tidak dapat pulang berhari raya," katanya. Mohamad Ghafar, 54, adalah antara 15 anak kapal dan 283 penumpang MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia. Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat. Maimon berkata beliau mengetahui tentang tragedi yang menimpa anaknya yang mesra dengan panggilan 'Salem' daripada menantunya Normi Abdullah, 54, tengah malam tadi. "Menantu saya telefon suruh buka televisyen tengok berita, katanya kapal terbang (dinaiki) anak saya terhempas, memang saya betul-betul terperanjat namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya. Beliau kali terakhir bercakap dengan anaknya itu melalui telefon pada Selasa lepas yang memberitahu akan berangkat ke Amsterdam pada keesokan harinya untuk bertugas.