suria

PM Hadapi Krisis MH17 Bersama Pemimpin Dunia

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau memberi fokus kepada usaha untuk bersama pemimpin-pemimpin dunia dalam menghadapi krisis pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia, Khamis. 

Dalam catatan terbaharu di laman sosial Facebook beliau hari ini, perdana menteri turut menghargai sokongan para pemimpin dunia dalam menghadapi krisis MH17. 

"Saya telah batalkan semua program-program pagi saya hari ini. Hari ini saya fokus kepada usaha untuk bersama pemimpin-pemimpin dunia dalam menghadapi krisis ini. 

"Saya juga telah bercakap dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan sampaikan ucapan takziah," jelas beliau. 

Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Perdana Menteri dalam sidang media awal hari ini berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh. 

MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.
Datuk Seri Najib Tun Razak, MH17, MAS

Artikel Lain