suria

MH17: Kru Penerbangan Seluruh Dunia Rakam Penghormatan

KUALA LUMPUR: Petugas syarikat penerbangan dari seluruh dunia membanjiri satu laman Facebook dengan curahan hati masing-masing untuk merakam penghormatan dan penghargaan mereka kepada anak kapal Penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang terhempas di Ukraine pada Khamis.

Akaun Facebook bernama "A Fly Guy's Cabin Crew Lounge" itu, yang memberi ruang kepada petugas penerbangan dari serata dunia untuk membina rangkaian serta berkongsi kisah dan foto, kini menjadi saluran untuk menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada anak kapal MH17 yang terkorban dalam nahas itu.

MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis. Pesawat Boeing 777 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pihak berkuasa Ukraine mendakwa pesawat itu ditembak jatuh.

Satu catatan bertajuk "Letters of Love to Malaysia Airlines" memuat naik 151 foto sebagai "sebuah album yang mengandungi warkah cinta dan sokongan daripada warga syarikat penerbangan dari seluruh dunia".

"Sejak beberapa hari lepas, pesawat penumpang dari seluruh dunia berlepas ke udara dengan hati yang amat berat. Sesuatu bencana udara tidak hanya menejejaskan syarikat penerbangan terbabit, tetapi juga menjejaskan semangat kami semua. Kami disatukan oleh penerbangan dan petugas syarikat penerbangan dari seluruh dunia berharap saudara kami di Malaysia Airlines tahu bahawa kami berdiri teguh di belakang mereka," kata penulis catatan itu.

Antara penghormatan yang dirakamkan datang daripada seorang anak kapal Air France, yang berbunyi: "Semoga anda semua dibawa terbang dengan sayap malaikat.

Seorang anak kapal Egypt Air pula menulis begini: "Bersemadilah dengan tenang, Petugas Penerbangan Tidak Mati, Mereka Hanya Terbang Lebih Tinggi."

Seorang anak kapal Brussels Airlines pula menulis: "MH17, doa kami mengiringi anda."

Ini pula catatan seorang anak kapal Tame Airlines: "Anda sekali-kali tidak akan dilupakan, MH17. Selama-lamanya di hati kami."

Seorang anak kapal American Airlines menulis begini: "100,000 warga American Airlines mengingati penumpang dan anak kapal MH17. Bersemadilah dengan tenang."

Antara mereka yang membuat catatan di laman Facebook sejurus selepas berita tentang nahas itu berlaku ialah Ineke Muller dari Belanda, dengan tulisannya: "Ya Tuhan, saya kena terbang ke KL esok, tapi saya sungguh sedih. Saya semacam tidak boleh percaya perkara ini berlaku ...saya tinggal di Amsterdam...sungguh sedih sekali!"

Seorang rakyat Malaysia, yang hanya dikenali sebagai Robert Leong pula berkata seboleh-bolehnya, dia menggunakan MAS untuk ke mana sahaja. "Malah, saya baru sahaja menggunakan penerbangan HK-KL-HK (Hong Kong-Kuala Lumpur-Hong Kong) dua hari lepas dan akan berbuat begitu sekali lagi, dengan MAS, pada 5 Ogos ... Tabahkanlah hati, selalulah berlapang dada dan terus mara ke hadapan MAS. Saya akan sentiasa menyokong anda...".

Chris Wi, dari syarikat penerbangan Jerman Lufthansa, pula menulis: "Satu tragedi yang amat dahsyat hingga hampir sukar menemui perkataan yang boleh menggambarkan dengan tepat betapa pilunya hati kami di Lufthansa.

"Sepanjang hampir 10 tahun lepas, saya sering terbang dari BKK (Bangkok) ke FRA (Frankfurt) dan selalunya, saya berbuat begitu dengan MAS - Satu pelukan semangat untuk semua saudaraku di dunia penerbangan di MH," katanya.

Peramugari Emirates, Jayde Read pula menulis: "RIP, MH370 dan kini MH17. Saya bersimpati dengan semua penumpang, anak kapal, keluarga dan rakan yang terjejas pada saat-saat yang memilukan ini.

"Saya seperti tidak boleh menerima hakikat perkara ini boleh terjadi, lebih-lebih lagi kepada Malaysia Airlines, yang ditimpa tragedi dalam tempoh yang begitu rapat. Suatu perkara yang amat mengejutkan dunia. Saya bertugas sebagai anak kapal dengan Emirates dan saya teramat sedih, walaupun saya tak mengenali seorang pun dalam penerbangan itu, namun saya tidak dapat berhenti daripada memikirkannya," tulis beliau.

Wanita itu seterusnya berkata sudah banyak bencana berlaku di dunia, dan sekarang, ini pula menimpa mereka yang tidak bersalah akibat apa yang dilihat sebagai suatu kesilapan besar manusia, yang tidak sepatutnya berlaku.

"Ia amat memilukan....Saya utuskan perasaan kasih sayang dan ingatan saya kepada semua yang terjejas," katanya.

Darsie Barker Chase dari Southwest Airlines, Amerika pula berkata kebanyakan anak kapal memulakan kerjaya mereka ketika masing-masing masih muda, dan "sebahagian besar daripada kami menyangka ia suatu cara yang menyeronokkan untuk melihat dunia, namun selepas itu kami segera menyedari bahawa kami bukan sahaja mendapat pekerjaan, tetapi juga sebuah keluarga.

"Apbila sesuatu perkara berlaku kepada seseorang daripada kami, tidak kira daripada syarikat penerbangan mana, ia menyedihkan kami dan apabila mendapat tahu bahawa perkara itu dilakukan dengan sengaja, maka kepedihan dan kerisauan yang dialami tidak mampu kami bayangkan. Mangsanya dianggap seperti saudara kandung kami sendiri. Semoga Tuhan melimpahi rahmat ke atasmu Malaysia," tulis wanita itu.

Akaun "A Fly Guy's Cabin Crew Lounge" itu juga memuatkan gambar pramugari MH17 Angeline Premila Rajandran, 30, dan Shazanah Salleh, 31. Angeline dikatakan anak kapal paling muda dalam penerbangan itu dan seorang yang sentiasa ceria serta baik hati, manakala Shazanah pula disifatkan sebagai seorang wanita bersemangat tinggi dan memiliki senyuman yang memikat.


MAS, MH17

Artikel Lain