suria

Mantai Perdana Tawar Harga Istimewa Daging Segar

Orang ramai berebut-rebut membeli pelbagai jenis daging yang ditawarkan pada harga rendah sempena Mantai Perdana di Negeri Sembilan tahun lalu.
SEREMBAN: Perkataan 'mantai' dalam dialek Negeri Sembilan bermaksud membantai iaitu hari di mana umat Islam bergotong-royong melapah daging, menjual, menyediakan makanan keperluan Hari Raya seperti membakar lemang, merebus ketupat dan memasak rendang.


Oleh itu, menjelang Aidilfitri minggu depan, bermula pukul 10.30 malam pada Jumaat ini, kawasan bekas tapak kem tentera Paroi di sini dijangka dipenuhi orang ramai yang ingin membeli daging lembu segar yang ditawarkan pada harga istimewa.

Menerusi program Mantai Perdana 2014 ini, penternak yang menyertainya bersetuju menjual daging lembu segar pada harga RM20 sekilogram (kg) berbanding harga pasaran RM30 tiap kg.

Bagaimanapun, bagi memastikan semua orang dapat membeli daging pada harga murah, setiap orang hanya boleh membeli dua kg sahaja.

Daging daripada 250 ekor lembu, 25 ekor kerbau dan beribu ekor ayam pelbagai jenis seperti ayam daging, ayam telur dan sebagainya akan dijual di situ pada harga lebih murah.

Program itu antara usaha kerajaan negeri membantu meringankan beban perbelanjaan orang ramai sempena Aidilfitri.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bekalan daging yang ditawarkan mengikut bilangan yang ditetapkan dengan komitmen untuk memastikan semua orang dapat membeli daging murah.

"Kita tidak menggalakkan orang dari luar negeri ini datang untuk membeli," katanya baru-baru ini.

Selain itu, program Mantai Perdana itu akan turut disertai peniaga yang menjual pelbagai jenis rempah ratus, sayur-sayuran dan sebagainya.

Mohamad berkata ia akan menjadi sebagai pusat sehenti untuk orang ramai membeli barang keperluan bagi persiapan Aidilfitri.


Mantai Perdana, Paroi

Artikel Lain