suria

Dr Salma, Doktor Wanita Melayu Pertama Meninggal Dunia

Dr Salma Ismail.

KUALA LUMPUR: Wanita Melayu pertama yang memperoleh kelayakan doktor perubatan, Tan Sri Dr Salma Ismail, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Pantai di sini pada 6.15 petang Ahad.

Allahyarhamah, yang berusia 95 tahun, meninggalkan dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan enam cucu. 

Anak sulungnya, Tan Sri Dr Ridzwan Abu Bakar, 64, berkata ibunya dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat sesak nafas. 

Jenazah akan disempurnakan di No. 6, Jalan Mesra, Off Jalan Aman di sini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang sebelum Zohor, kata Dr Ridzwan ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini malam Ahad.

Allahyarhamah menempa sejarah sebagai wanita Melayu pertama memperoleh kelayakan sebagai doktor pada 1949.

Anak kelahiran Alor Setar itu antara lain pernah bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Kedah dan Selangor pada tahun 1950-an dan 60-an.

Dr Salma dianugerah darjah Panglima Setia Mahkota pada 1997 yang membawa gelaran Tan Sri.

"Sebagai seorang wanita dan doktor, beliau hidup dengan prinsip, mempunyai keyakinan pada diri sendiri, jujur, jangan bercakap buruk tentang orang lain dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata Dr Ridzwan mengenai ibunya.

Artikel Berikut

Artikel Lain