suria

Pegawai Imigresen Diburu Terlibat Pemalsuan Dokumen Pekerja Asing

Abdul Jalil Hassan (tengah) menunjukkan uniform dan lencana pegawai Imigresen yang digunakan oleh sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen permit kerja warga asing. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI / THE STAR

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Imigresen antara yang diburu polis kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen permit kerja warga asing membabitkan kerugian RM3 juta. 

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dalam Ops Levi di sekitar Lembah Klang pada Ahad, suspek berusia 34 tahun, yang beralamat di Seri Kembangan telah menghilangkan diri. 

Turut diburu, seorang individu awam berusia 39 tahun dipercayai tinggal di Seksyen 15, Shah Alam. 

"Dalam operasi semalam, kami berjaya menahan lapan lelaki warga tempatan, dua wanita warga Thailand, seorang warga Indonesia bertaraf pemastautin tetap, berusia lingkungan 28 hingga 56 tahun. 

"Antara barang yang dirampas ialah lapan unit telefon bimbit, dua unit komputer riba, 223 buku pasport dan wang tunai," kata Abdul Jalil kepada pemberita di sini, Isnin.

Abdul Jalil, berkata sindiket menggunakan modus operandi dengan menawarkan perkhidmatan bagi menguruskan permit pekerja asing kepada syarikat-syarikat di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor dan Pahang. 

Katanya, sindiket yang beroperasi sejak setahun lalu bertindak sebagai 'runner' itu telah memperdaya syarikat-syarikat berkenaan setelah menerima bayaran sebelum mengeluarkan dokumen kelulusan palsu. 

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat-syarikat terbabit hanya menyedari dokumen yang dikemukakan palsu setelah pembayaran levi dibuat bagi tujuan memperbaharui permit pekerja mereka di Jabatan Imigresen. 

Sejak hujung tahun lepas hingga semalam, sebanyak lapan laporan polis telah dibuat oleh individu dan syarikat yang menjadi mangsa penipuan ini dengan nilai kerugian dianggarkan RM3 juta. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.  

Sehubungan itu, polis menasihati syarikat yang ingin menguruskan permit pekerja asing mereka, menggunakan perkhidmatan sah di Jabatan Imigresen bagi mengelakkan penipuan.

Imigresen, Abdul Jalil Hassan

Artikel Lain