suria

Syukur Usaha Bawa Balik Mayat Penumpang, Kru MH17 Berhasil - Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) melihat kerja baik pulih telaga sambil diberi penerangan oleh Nazir Masjid Ar-Rahman, Rozaimi Roslan semasa meninjau kawasan masjid tersebut sempena Majlis Ihya Ramadan Khas di Sungai Manggis, Banting di sini, Selasa.
KUALA LANGAT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur apabila usaha membawa pulang jasad penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine membuahkan hasil.

Beliau berkata, inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mencapai persetujuan dengan Alexander Borodai, individu yang berkuasa di wilayah pesawat itu terhempas pada Khamis lepas jelas memberi khabar gembira kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kita bersyukur atas inisiatif dan usaha Perdana Menteri yang secara peribadi berhubung dengan Alexander Borodai. Hasrat kita untuk bawa balik jenazah penumpang dan anak kapal nampaknya sudah menampakkan hasil.

"Yang penting Malaysia nak lihat mayat dibawa (balik) sini, diselesai, diuruskan dan disempurnakan mengikut adat kaum masing-masing," katanya ketika berucap pada Program Ihya Ramadan anjuran badan sukarelawan, iM4U di Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Manggis, Banting di sini, Selasa.

Awal pagi Selasa, Najib dalam sidang akhbar di Seri Perdana, Putrajaya mengumumkan bahawa 282 mayat akan dipindahkan dengan kereta api dari Torez ke Kharkiv selepas beliau berjaya mengadakan rundingan dengan Borodai.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.

Dipercayai pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini juga pasti disambut secara bersederhana berikutan negara sedang bersedih dengan tragedi itu.

"Tahun ini kita semua rakyat Malaysia rasa cukup sedih dan hiba apabila sebelum ini negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 dan sekarang tragedi MH17," katanya.

Pada 8 Mac lepas, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada skrin radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia dan operasi mencari diteruskan, namun sehingga kini belum berhasil.

Timbalan Perdana Menteri, MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain