suria

Mercun 'Peluru Berpandu' Dirampas

Gambar hiasan.

LEDANG: Mercun seakan periuk api dan roket peluru berpandu adalah antara pelbagai jenis bahan itu yang dirampas dan dianggar bernilai RM30,000 dalam empat serbuan berasingan oleh polis daerah ini sepanjang Ramadan. 

Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Mohamed Salleh Abd. Razak berkata, kedua-dua jenis mercun yang diimport dari negeri China itu adalah antara 10 jenis yang dilarang dan didapati dijual dengan harga antara RM10 hingga RM200 seunit dalam pasaran tempatan.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di sini, beliau berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Lalang di sini 4 petang Ahad lalu, polis merampas 109 kotak pelbagai jenis mercun yang disimpan dalam sebuah bilik.

"Kita telah menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dalam serbuan itu dan hasil siasatan membawa kepada serbuan kedua, selang setengah jam di kampung Parit Banjar, pinggir bandar ini dan menahan seorang pemuda berusia 19 tahun," katanya. 

Dalam serbuan itu katanya, polis menemui 46 kotak berisi pelbagai jenis mercun buatan negeri China. 

Mohamed Salleh berkata, dalam serbuan ketiga sejam selepas itu, polis menahan seorang pemandu lori berusia 39 tahun di Taman Tangkak Jaya dan merampas sejumlah 76 kotak pelbagai jenis mercun dari China.

Serbuan keempat pula diadakan kira-kira 2 pagi keesokan harinya (Isnin) di sebuah rumah di Grisek di sini dan menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana memiliki sejumlah mercun. 

"Lelaki ini mempunyai empat rekod jenayah berkaitan kes dadah dan dia dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut," katanya sambil menyatakan kesemua suspek dibenar ikat jamin sementara menunggu dihadapkan ke Mahkamah. 


mercun, peluru berpandu

Artikel Lain