suria

Sidang Khas Parlimen Lulus Usul Kutuk Tindakan Kejam Tembak Jatuh MH17

Persidangan Khas Dewan Rakyat di Parlimen pada Rabu sebulat suara meluluskan usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan menembak jatuh pesawat MH17. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR

KUALA LUMPUR: Persidangan Khas Dewan Rakyat pada Rabu sebulat suara meluluskan usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur Ukraine yang mengorbankan 298 nyawa, pada 17 Julai lepas. 

Usul itu menyaksikan kesemua anggota Parlimen yang hadir menzahirkan sentimen senada untuk menyokong usul yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi Rabu.

Seramai 22 anggota Parlimen terdiri daripada 13 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan sembilan wakil rakyat pembangkang membahaskan usul itu pada Persidangan Khas Dewan Rakyat yang mula bersidang 10 pagi.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di wilayah Donetsk, di timur Ukraine, pada Khamis lepas. 



MAS, MH17, Penerbangan Malaysia

Artikel Lain