suria

MH17: Persetujuan Malaysia-Pemberontak Tanpa Syarat - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR
KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia mencapai tiga persetujuan dengan puak pemisah Ukraine termasuk bagi mendapatkan akses penuh ke lokasi pesawat MH17 terhempas dibuat tanpa sebarang syarat.

Sebaliknya persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua puak pemisah, Alexander Borodai yang menguasai wilayah Donetsk iaitu lokasi pesawat MH17 terhempas dibuat atas pertimbangan kemanusiaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Borodai bersetuju mengenai tiga perkara yang dikemukakan, Malaysia tidak diminta memenuhi apa-apa tuntutan balas.

"Inisiatif yang dibuat itu tanpa apa-apa balasan, tapi atas dasar penjelasan Datuk Seri Najib bahawa kes ini adalah perkara yang penting bagi negara kita dan dunia.

"Maka pihak yang terlibat seperti Borodai bersetuju tanpa ada syarat atau balasan bagi tujuan untuk kita memasuki kawasan itu untuk bawa keluar bukti dan semua yang berkaitan," katanya ketika menggulung perbahasan usul mengenai insiden MH17 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin mengetahui sama ada Malaysia terikat dengan apa-apa perjanjian balas dengan puak pemberonta Ukraine.

Sebelum ini Perdana Menteri mengumumkan Malaysia berjaya mencapai persetujuan dengan Borodai berdasarkan tiga aspek iaitu mayat mangsa dikembalikan; penyerahan kotak hitam; dan akses penuh pasukan penyiasat terhadap lokasi nahas.

Bagaimanapun Muhyiddin menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf puak pemberontak sebagai sebuah kerajaan yang sah walaupun mencapai persetujuan berhubung isu berkenaan.

"Yang penting adalah hasilnya. Kita tak ada hubungan dengan mereka kerana kita tahu di Ukraine ada puak pemisah.

"Apa yang penting asalkan kita dapat ambil apa sahaja yang kita mahu dalam kes ini, maka pihak wakil kita menerima (persetujuan) dengan keadaan yang baik," katanya.


Artikel Lain