APABILA menjelang Ramadan, masyarakat Melayu amnya akan menjadi usahawan sebulan terutamanya dalam bidang masakan, pakaian dan lain-lain. Kali ini, penulis berkesempatan mencungkil rahsia usahawan Aidilfitri di Taman Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah yang meceburi bidang pembuatan biskut raya. Segalanya bermula dengan membuat tiga jenis biskut yang ditempah oleh saudara mara dan rakan pada 1992 dalam anggaran 6,000 biji. Setelah mendapat sambutan, pada tahun berikutnya tempahan yang diterima melebihi empat kali ganda. Bermula dari dapur rumah kini beliau terpaksa menyewa sebuah rumah lagi untuk dijadikan tempat pembuatan biskut raya serta pembungkusan. Perkembangan pesat perniagaannya membuatkan Rohini Yahaya ( kak Min),55 bertekad menjadikan usaha ini sebagai pendapatan beliau setiap kali menjelang Ramadan. Hari ini, tempahan yang diterima melebihi satu juta biji biskut untuk Aidilfitri. Kebanyakan biskut dihasilkan daripada resipi sendiri dan sebahagiannya diambil dari majalah dan diubah suai supaya lebih enak. Beliau kini mempunyai lebih 35 pekerja tetap setiap kali tibanya Ramadan hanya untuk membantu menyediakan biskut raya yang ditempah. Bekerja seawal pukul 8 pagi hingga 5 petang, pekerja Rohini terdiri daripada kenalan dan jiran di Taman Bakar Arang. Seminggu sebelum Ramadan lagi, contoh biskut raya keluaran Rohini mula dibuat dan tahun ini, lebih 800 contoh biskut raya dikeluarkan untuk 21 jenis. Namun disebalik kesibukan membuat biskut, terselit rasa sedih dilubuk hati beliau kerana manusia yang tamak mengejar keuntungan hasil titik peluhnya. “Selalunya saya keluarkan 700 contoh biskut untuk diedarkan kepada pelanggan yang menjadi ejen, tapi tahun ini lebih 800 contoh dikeluarkan kerana ejen bertambah," kata Rohini dengan nada lembut. Apa yang menyedihkan, ada diantara mereka yang menjadi ejen atau orang tengah hanya mengambil contoh biskut daripadanya dan mengambil tempahan dari pelanggan namun tempahan itu tidak dikembalikan kepada Rohini. “Saya dimaklumkan bahawa orang tengah ini hanya menggunakan contoh biskut saya untuk tempahan dan setelah mendapat banyak tempahan mereka sendiri yang membuat kuih tersebut”, tambah beliau dengan nada kesal. Penulis dimaklumkan bahawa ramai pelanggan yang menghubungi beliau dan ada yang berjumpa dengannya kerana tidak berpuas hati dengan rasa dan kualiti biskut. Setiap ejen atau orang tengah yang mengambil contoh biskut raya dicatatkan nama serta nombor telefon untuk memudahkan beliau mendapatkan tempahan. Bagaimanapun, setelah dimaklumkan oleh pelanggan yang kecewa dengan rasa dan kualiti biskut raya itu, serta ejen yang membuat tempahan dan menghantar bekalan, maka terbongkarlah kegiatan pihak tidak bertanggungjawab ini. Ternyata ada orang tengah yang tamak dan mengambil kesempatan atas nama orang lain. Penulis terus mengajukan soalan bagaimana untuk beliau mengatasi masalah penipuan di peringkat orang tengah ini dan jawapnya ringkas: “InsyaAllah tahun depan saya akan tempah bekas khas yang tertera nama 'MIN COOKIES' supaya mereka yang tamak tak akan mampu menipu pelanggan saya lagi." Kuih raya keluaran beliau menggunakan bahan berkualiti serta semua biskut raya dibuat dengan menggunakan butter yang mahal serta berkualiti. Malahan biskut raya keluarannya mampu bertahan sehingga setahun jika ditutup dengan elok dan tidak terdedah kepada udara. “Saya redha dengan apa yang berlaku, cuma saya kasihan kepada pelanggan yang tertipu dan kemungkinan nama saya juga boleh tercemar atas ketamakan mereka yang tidak bertanggungjawab”, tambah Rohini mengakhiri perbualan. Kepada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Rohini atau lebih mesra dipanggil Kak Min ditalian 012-5981612 / 017-4832859.