Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tugas itu yang diketuai pasukan penyiasat Belanda adalah lebih rumit dan memakan masa berminggu-minggu.
"Kalau cuma untuk pengecaman mayat proses lebih senang. Tapi untuk kes ini dibawa ke mahkamah kita perlu sediakan bukti yang kukuh," katanya kepada media selepas melancarkan program Sindhi Sammelan Antarabangsa ke-21, di sini Jumaat.
Beliau berkata antara bukti yang boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan adalah serpihan logam yang mungkin ditemui di dalam mayat mangsa.
Pesawat MH17 Boeing 777-200 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine Khamis lepas.
Ia membawa 298 penumpang serta anak kapal dan dipercayai ditembak jatuh.