PUTRAJAYA: Majikan diharap memberi kelonggaran kepada waris penumpang dan kru nahas MH17 yang belum sedia kembali bekerja kerana kesedihan kehilangan orang tersayang. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata menurut kaunselor yang disediakan kementeriannya, waris mangsa didapati tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas di tempat kerja. "Ini antara yang diluahkan kepada kita (kaunselor). Ini penting, kalau mereka tidak bersedia bekerja kita tidak boleh paksa mereka dahulu dan kita akan hubungi majikan," katanya pada sidang akhbar di sini Sabtu. Terdahulu beliau menyertai Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang mencemar duli menziarahi keluarga terlibat. Rohani berkata hasil sesi kaunseling bersama waris mangsa MH17 menunjukkan mereka mengalami 'shock grief', trauma, tertekan, merasai kehidupan terganggu, terjejas kesihatan fizikal, keletihan serta hilang selera makan. Menurutnya mereka juga bimbang terhadap masa depan anak-anak dan keluarga apabila hilang tempat bergantung. Rohani berkata terdapat 25 kaunselor yang bersedia memberi sesi kaunseling kepada waris mangsa MH17 pada bila-bila masa. Bagaimanapun setakat ini hanya 11 keluarga yang memohon khidmat kaunseling dan selebihnya masih belum bersedia, katanya. Menjelang sambutan Aidilfitri, Rohani berkata kebanyakan keluarga mengambil keputusan pulang ke rumah masing-masing meskipun diselubungi kesedihan dan mereka akan dihubungi pihak berkuasa jika ada perkembangan terkini. Penerbangan MH17 yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 777-200 bersama 298 penumpang dan anak kapal terhempas, dipercayai akibat ditembak, di Donetsk, timur Ukraine, Khamis lepas. Pesawat itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.