KLANG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menyelar kerajaan Selangor kerana tidak mengambil langkah-langkah drastik untuk memerangi peningkatan jumlah kes denggi di negeri ini. Mendakwa bilangan kes telah meningkat dari hari ke hari, beliau membidas majlis-majlis tempatan dan kerajaan negeri kerana 'membenarkan' peningkatan berlaku. "Terdapat 28,621 kes di Selangor dengan 38 kematian sehingga 19 Julai. "Ini adalah hampir tiga kali ganda kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas, yang hanya menyaksikan 6,520 kes dan tujuh kematian. "Apa yang kerajaan Selangor lakukan tentang perkara ini? Ini bukan mengenai politik tetapi tentang rakyat," katanya kepada pemberita. Dr Subramaniam berkata demikian selepas melawat penduduk di Taman Sentosa, sebuah kawasan yang telah diklasifikasikan sebagai 'hotspot'. "Apabila saya datang di sini (Taman Sentosa), ia seolah-olah seperti satu longgokan besar sampah. Longkang tersumbat dan sampah tidak dikutip. Ini menyumbang faktor pembiakan nyamuk aedes. "Tidak kira berapa banyak semburan asap oleh Jabatan Kesihatan Negeri lakukan, ia tidak akan membantu jika majlis-majlis tempatan tidak memainkan peranan mereka," katanya. Dr Subramaniam berkata Kabinet telah memperuntukkan RM16 juta untuk kementeriannya pada Jumaat, bagi menjalankan aktiviti-aktiviti untuk membantu menurunkan jumlah kes denggi. Mengenai pasukan petugas khas peringkat kementerian yang dibentuk untuk menangani perkara ini, beliau berkata ia berjalan dengan baik, sambil menambah pelbagai aktiviti seperti pengasapan dan kempen telah dijalankan sejak penubuhannya. Sehingga Khamis lalu, negara mencatatkan 54,152 kes dan 96 kematian akibat demam denggi. Ini adalah peningkatan sebanyak 256 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.