suria

Lima Negara Bentuk Pasukan Untuk Jamin Keselamatan Di Lokasi Nahas MH17

Pasukan penyiasat Malaysia bersama anggota-anggota OSCE melakukan pemeriksaan terhadap bangkai pesawat MAS di perkampungan Petropavlivka, Donetsk, timur Ukraine.
PETALING JAYA: Pasukan keselamatan multinasional dijangka akan terbang ke Ukraine untuk menjamin keselamatan di zon seluas 50 km persegi, kawasan di mana pesawat penerbangan MH17 ditembak jatuh.

Pasukan itu dijangka diterajui oleh Belanda, yang kehilangan 193 rakyat dalam tragedi itu, manakala Australia mungkin menjadi timbalan.

Malaysia, Jerman dan Britain adalah tiga negara lain yang dijangka akan memberi sumbangan kepada pasukan keselamatan itu, dengan Malaysia telah kehilangan 43 orang dalam tragedi itu.

Amerika Syarikat juga telah menawarkan diri untuk menyertai operasi tetapi tawaran itu tidak mungkin diterima.

Memanggil tindakan ini sebagai 'gabungan yang masih berdukacita', Sydney Morning Herald berkata Jerman dan Britain kini sedang membincangkan mengenai sifat dan komposisi pasukan yang akan dihantar ke lokasi nahas yang terletak jauh di wilayah pemberontak.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang pulang dari Ukraine pada Jumaat, berkata Malaysia akan terus menggesa akses selamat dan tidak terhad untuk ke tapak nahas.

Beliau berkata tapak nahas itu masih tidak selamat untuk penyiasat menjalankan kerja mereka.

Australia mempunyai 90 pegawai polis persekutuan di Eropah yang bersedia untuk dikerahkan ke tapak kejadian di timur Ukraine di mana pesawat itu dijatuhkan minggu lepas, kata Perdana Menteri Tony Abbott.

Beberapa pegawai mungkin dilengkapi senjata dan akan diiringi oleh ahli-ahli pasukan pertahanan Australia, katanya.

Kumpulan pemisah pro-Rusia yang bersenjata mengawal kawasan tersebut dan telah menghalang percubaan penyiasat untuk mengakses tapak nahas.

Abbott menegaskan bahawa pasukan itu, yang akan termasuk negara-negara yang kehilangan rakyatnya dalam kejadian itu, tidak akan pergi sebagai sebahagian daripada misi ketenteraan.

"Ini adalah misi kemanusiaan ... dengan matlamat yang jelas dan mudah, untuk membawa mereka pulang," kata Abbott kepada pemberita di Canberra.

"Yang lain boleh terlibat dalam politik Eropah Timur. Apa yang kami mahu lakukan adalah untuk menuntut mayat rakyat kita dan untuk membawa mereka pulang."

100 lagi pegawai polis Australia akan dikerahkan ke Eropah dalam tempoh 24 jam akan datang, kata Abbott.

Belanda menghantar 40 polis tentera yang tidak bersenjata ke kawasan itu, umum Perdana Menteri, Mark Rutte.

Beliau juga menghantar penyiasat forensik ke lokasi untuk cuba membuat kesimpulan apa sebenarnya yang berlaku apabila pesawat ditembak jatuh seminggu yang lalu, membunuh semua 298 orang di atas kapal.

Rutte berkata polis tentera akan membantu para penyiasat. 

"Mereka benar-benar kelihatan seperti pakar-pakar forensik. Mereka akan diberikan bantuan dan pemerhatian tambahan untuk mencari baki mayat dan barangan peribadi, "katanya.

Kabinet Belanda dijangka membuat keputusan pada hujung minggu sama ada mahu menghantar anggota tentera ke zon kemalangan.
MH17, pasukan keselamatan

Artikel Lain