suria

Raja Muda Perlis Saran Mualaf Dijemput Hadiri Majlis Aidilfitri

ARAU: Umat Islam yang bakal menyambut Aidilfitri disaran menjemput saudara baharu atau mualaf ke rumah mereka pada hari mulia itu bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama Muslim.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kebanyakan mualaf kemungkinan tiada tempat untuk dituju semasa hari raya terutama yang baru memeluk Islam.

"Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan ada antara mereka dipinggirkan keluarga, diusir dan diputus hubungan kekeluargaan kerana memilih agama lain sebagai jalan hidup.

"Hakikatnya, realiti ini ditempuh oleh penganut agama baharu dan kita perlu menghormatinya sebelum mereka diterima kembali oleh keluarga masing-masing," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian pada majlis penyampaian sumbangan dan pelancaran program Usahasama Inisiatif Kemasyarakatan CIMB Islamic Bank Berhad, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dengan kerjasama HalFest Shapers (M) Sdn Bhd bersama anak-anak yatim dan warga asnaf di perkarangan Kompleks Persatuan Al-Islah Perlis di Mata Ayer, dekat sini malam Rabu.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad Badlisyah Abdul Ghani, Pengerusi HalFest Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif HalFest Mohd Shukri Abdullah.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah umat Islam wajar melayan saudara baharu agar mereka tidak berasa dipinggir atau terasing dengan meraikan mereka dengan penuh semangat persaudaraan serta kasih sayang.

Pada majlis itu, CIMB Islamic Bank menyumbangkan sistem penapis air kepada Asrama Rumah Anak Yatim Mak Teh, Asrama Anak Yatim Yayasan Saad, Rumah Hembusan Kasih, Teratak Rahmat Persatuan Al-Islah Perlis, Rumah Anak Yatim PEYATIM, Rumah Warga Emas Kompleks Penyayang dan Rumah Kanak-kanak Arau di bawah Program Kasih Sejernih Air.

Persatuan Al-Islah Perlis turut menerima sumbangan untuk mewujudkan pusat sumber manakala para pelajarnya diberi wang saku selama setahun di bawah Projek Sentuhan Kasih Tuanku Raja Muda Perlis.

CIMB Islamic turut menyampaikan bantuan peralatan latihan dan keusahawanan melalui MAIPs sebagai modal perniagaan kepada 10 asnaf di bawah program Projek Asnaf Berdikari.

Terdahulu, Badlisham berkata CIMB Islamic Bank memperuntukkan RM148,000 untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat syarikat di Perlis tahun ini.


Raja Muda Perlis, mualaf, Aidilfitri

Artikel Lain