GEORGE TOWN: Lima sekeluarga di Persiaran Perak di sini begitu gembira kerana menerima rumah baharu bernilai RM42,220 beserta perabot daripada pihak Zakat Pulau Pinang. Abdul Halim Abdullah, 39, yang cacat penglihatan bertambah gembira apabila kerajaan negeri turut memberi tapak rumah itu kepadanya. Rumah itu diserahkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Salleh Man. Abdul Halim berkata, sebelum ini beliau dan keluarganya menyewa rumah papan yang dibina di atas tanah rizab kerajaan negeri dengan bayaran RM150 sebulan. "Walaupun sewanya murah atas ihsan pemiliknya. Tetapi tanah di situ rendah dan selalu banjir. Jadi saya bersyukur sangat dapat rumah ini," katanya yang menyara hidup dengan menjual kain tudung secara kecil-kecil bersama isterinya Siti Khadijah Sulaiman, 45, dan memproleh pendapatan antara RM300 dan RM400 sebulan. Seorang anak mereka yang belajar di Tingkatan Lima turut buta sebelah kiri sementara mata yang sebelah lagi mengalami rabun teruk. Sementara itu, Salleh berkata, tahun ini Zakat Pulau Pinang membiayai pembinaan 11 buah rumah di seluruh negeri melibatkan perbelanjaan RM400,622 sementara 51 rumah lagi dibaiki dengan kos RM557,282.