AMSTERDAM: Sejumlah 70 keranda mayat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas telah diperiksa untuk proses forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di fasiliti ketenteraan di Hilversum, di sini. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata daripada 227 keranda, yang diterbangkan dari Kharkiv, Ukraine, sehingga semalam 70 keranda telah dibuka. "Berdasarkan kepada pasukan DVI kami di fasiliti itu, dijangka proses itu boleh diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga minggu," katanya kepada pemberita Malaysia di sini. Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai. Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh tetapi setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab. Dr Subramaniam berkata kementerian itu telah mengumpulkan semua cap jari, DNA dan rekod pergigian untuk 43 warganegara Malaysia yang menaiki MH17. Beliau berkata rekod pergigian itu siap minggu lepas manakala cap jari dikumpulkan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran. "Semua data rekod telah dimuat naik ke sistem penyiasatan Interpol di Belanda untuk pramortem," katanya. Dr Subramaniam menjelaskan kementerian itu juga telah mengumpulkan DNA saudara-mara di Malaysia untuk keluarga yang terdiri daripada ibu dan bapa serta anak mereka, yang terkorban dalam tragedi itu. Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Malaysia, tinggal di Belanda dan Australia. Beliau berkata semasa lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amsterdam esok, kementerian itu akan menawarkan bantuan kepada Belanda untuk mempercepatkan proses DVI.