JOHOR BARU: Pengguna kenderaan yang ingin memasuki Singapura melalui Tambak Johor kini harus membayar RM16.50 untuk bayaran tol keluar masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar. Seorang jurucakap di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) berkata, kadar tol baharu itu berkuatkuasa pada pukul 12.01 pagi Jumaat. Kadar tersebut dilaksanakan secara elektronik di kedua-dua arah menggunakan kad Touch 'n' Go, dengan tiada lagi kaunter bayaran tunai disediakan. "Kami akan memberi kira-kira 1,000 kad Touch 'n' Go dengan nilai tambah sebanyak RM10 kepada pengguna kenderaan yang melalui tol tersebut. "Kami menganggarkan untuk memberi kira-kira 200 keping kad setiap hari terutamanya pada waktu puncak dalam tempoh lima hari akan datang," katanya kepada The Star ketika dihubungi. Kadar tol arah masuk Malaysia kini adalah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4,80 dan RM7.80 masing-masing untuk kenderaan kelas 1 hingga kelas 5. Kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 bermula Jumaat. Setiap motosikal dikecualikan daripada membayar tol. EDL adalah lebuh raya yang dibina untuk membantu menyuraikan lalu lintas menuju ke bandar raya Johor Baru. Kenderaan yang menggunakan EDL tidak perlu membayar tol bagi jarak perjalanan sepanjang lapan kilometer di dalam kawasan Johor Bahru, Johor. Malah kenderaan yang tidak melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru boleh terus menggunakan lebuh raya itu secara percuma. Kadar tol baharu itu diumumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia pada minggu lalu.