PUTRAJAYA: Pergerakan pesawat di lapangan terbang klia2 tidak terjejas meskipun sembilan ruang tempat letak pesawat ditutup sementara ekoran penurunan suhu dalam sistem bahan bakar jet. Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Azmi Murad berkata operasi di lapangan terbang hibrid itu berjalan seperti biasa memandangkan MAHB mempunyai lebihan ruang tempat letak pesawat. "klia2 mempunyai 80 ruang tempat letak pesawat dan secara purata sebanyak 60 pesawat menggunakan ruang tersebut, dan oleh itu operasi penerbangan di klia2 berjalan seperti biasa," katanya. Pada Khamis, dalam satu kenyataan MAHB berkata pihaknya telah dinasihatkan oleh Kuala Lumpur Aviation Fuelling System (KAFS) untuk menutup sementara sembilan ruang tempat letak pesawat itu mulai Rabu. Ia dijangka dibuka semula pada tengah malam Ahad. "Sebagai pengendali lapangan terbang yang mengutamakan keselamatan lapangan terbang dan penumpang, Malaysia Airports memandang serius perkara itu. "Walaupun tiada apa yang perlu dibimbangkan, tindakan ini diambil sebagai langkah keselamatan, serta bagi membolehkan KAFS melakukan pemeriksaan terperinci," kata MAHB. Menurut kenyataan itu, MAHB akan dipandu oleh KAFS dalam melakukan sebarang kerja pembaikan yang mungkin diperlukan. Melalui laman web Malaysia klia2 info, setakat pukul 12 tengah hari Jumaat sebanyak 10 penerbangan dibatalkan, termasuk tujuh penerbangan AirAsia, dan masing-masing satu dari AirAsia X, Malindo Air dan Tiger Airways. Pihak AirAsia yang dihubungi, enggan mengulas lanjut berkenaan operasi penerbangan mereka pada Jumaat. AirAsia menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik klia2.