ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang hilang selepas mandi bersama beberapa orang sepupunya di pantai Pengkalan Balak di sini petang semalam, ditemui lemas tengah malam Khamis. Mayat Wan Putera Izz Danish Wan Azrol Affendi, ditemui anggota bomba pada 12.19 tengah malam dalam keadaan meniarap di tepi pantai kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang. Timbalan Pengarah Bomba Melaka Sohaimi Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.41 petang Khamis dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat. "Operasi mencari di laut hanya dapat dilakukan seketika sahaja disebabkan cuaca berangin dan laut berombak namun kita teruskan pencarian di tepi pantai sebelum menemui mayat mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat. Sementara itu, bapa mangsa Wan Azrol Affendi Yunos, 39, ketika ditemui berkata dia pada mulanya tidak membenarkan anak sulungnya itu mandi di pantai berkenaan namun terpaksa bersetuju selepas dipujuk anaknya. "Saya mengawasinya mandi bersama sepupunya dari jauh tapi dalam lima hingga 10 minit saya terleka sekejap dan apabila sedar dia dah tak ada...saya tidak dengar apa-apa jeritan pun sebelum itu," katanya. Wan Azrol berkata dia kemudian berusaha mencari anaknya itu namun tidak menemuinya sebelum menghubungi bomba. Katanya Wan Putera Izz Danish yang tinggal bersama bekas isterinya di Puchong, Selangor dibawa pulang beraya bersamanya di Melaka pada Selasa lepas. "Dua hari sebelum kejadian dia memberitahu saya nak tinggal terus dengan saya sebab nak jaga adiknya," katanya.