KUALA LUMPUR: Kapal Hidrografi KD Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berlepas ke Lautan Hindi, esok, bagi menyertai misi mencari dan mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Panglima Armada TLDM Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata kapal itu buat pertama kali menyertai 'Op Search MH370' di sana. Beliau berkata dalam misi kali ini KD Mutiara menggunakan peralatan sonar canggih yang berkeupayaan mengesan objek sejauh 7,000 meter di dasar laut. "Tetapi untuk misi ini, jarak pengesanan hanya diperlukan sekitar 4,000 hingga 5,000 meter kedalaman dasar laut sahaja," katanya kepada Bernama. Katanya, peralatan berkenaan secara teknikal diguna untuk melakukan kerja ukur batimatri ke dalam laut bagi mendapatkan data gambaran atau membuat pemetaan permukaan dasar laut bagi mengenal pasti sebarang objek yang dikesan. "Hasil data kerja ukur batimatri tersebut kemudiannya akan diproses dan dianalisis," katanya. Menurut Mohamad Roslan, KD Mutiara dijangka berada di selatan Lautan Hindi untuk tempoh yang belum ditentukan bergantung kepada hasil kejayaan kerja ukur batimatri itu nanti. "Operasi ini akan turut disertai sebuah lagi kapal tambahan TLDM Bunga Mas 6 yang telah berada di Australia bersama dua buah kapal dari China dan sebuah dari Australia," katanya. Beliau berharap dengan bermula misi mencari dan mengesan menggunakan peralatan sonar itu dapat menemui petunjuk baharu pesawat MH370. "Menggunakan ukuran batimatri saya berharap keputusannya memberi impak positif dan dapat mengenal pasti lokasi sebenar MH370 berada," katanya. Ditanya mengenai penglibatan pakar dan anggota TLDM dalam misi itu esok, Mohamad Roslan berkata perkara itu masih diperincikan lagi. "Di samping mereka, doktor dan ustaz juga akan terlibat sama dalam misi di Lautan Hindi itu," katanya. Mohamad Roslam akan menyempurnakan majlis pelepasan kapal TLDM, KD Mutiara ke Lautan Hindi esok di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada pukul 8.15 pagi. KD Mutiara telah ditauliahkan pada 18 Disember 1977 dan dibina di Butterworth, Pulau Pinang oleh syarikat Hong Leong Lurssen dan didalamnya terdapat Skuadron 36 Hidrografi. Pada 8 Mac, Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Pencarian antarabangsa pada mulanya dilakukan ke Laut China Selatan sebelum diubah ke selatan Lautan Hindi. Ketika ini, kerja-kerja pemetaan dasar laut bagi mengesan pesawat MH370 di lengkungan ketujuh di selatan Lautan Hindi berjalan lancar. Menurut kenyataan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada 31 Julai menyatakan proses itu yang dilakukan kapal Zhu Kezhen dan Fugro Equator dijangka selesai menjelang September ini sebelum diikuti dengan pencarian dasar laut. "Sejak 24 Mei 2004, Zhu Kezhen iaitu kapal Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) telah melakukan operasi pemetaan. Data yang diperoleh akan membantu dalam menentu bentuk topografi dasar laut. Sehingga 30 Julai 2014, ia telah memantau lebih 25,000 kilometer persegi di sepanjang lengkungan ketujuh. "Fugro Equator iaitu kapal peninjau khas yang diberi kontrak pihak Australia juga melakukan kerja-kerja kaji selidik batimatri. Sehingga 30 Julai 2014, lebih 43,000 kilometer persegi telah dikesan oleh Fugro Equator," kata JACC dalam kenyataan itu. Proses pemetaan dilakukan sebagai persediaan untuk pencarian laut dalam bagi mengesan pesawat. JACC menegaskan adalah penting untuk membuat tinjauan di dasar laut di kawasan terpencil di Lautan Hindi yang belum diterokai sepenuhnya.