TELUK INTAN: Seorang wanita dan anak lelakinya berusia dua tahun antara tiga yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan yang membawa dua keluarga di Km 44 Jalan Teluk Intan-Sitiawan, dekat sini malam Ahad. Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Suhaily Mohd Zain berkata kejadian turut menyebabkan tiga parah dan seorang lagi cedera ringan. M. Pusparani, 40, meninggal dunia di Hospital Teluk Intan manakala anaknya R. Sanjeet serta seorang lagi mangsa Mohd Amin Mat Yusof, 52, maut di tempat kejadian, katanya ketika dihubungi Isnin. Mereka yang parah ialah suami Pusparani, K. Ravi, 40 serta seorang lagi anak mereka R. Balachandderao, 5; dan isteri Mohd Amin, Norkhaijan Tukiran, 43, manakala anak mereka Muhammad Haziq, 7, hanya cedera ringan, katanya. Mohd Suhaily berkata kejadian berlaku 12.05 tengah malam membabitkan dua buah kereta jenis Perodua Kancil yang bertembung sesama sendiri. Katanya kejadian berlaku semasa Mohd Amin dan keluarganya dalam perjalanan dari Teluk Intan menuju ke Sitiawan. Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki keluarga Mohd Amin hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki Ravi sekeluarga. "Bagaimanapun kita belum mendapat apa-apa maklumat siapa yang memandu kedua-dua kenderaan berkenaan disebabkan kesemua mangsa sama ada meninggal dunia atau mengalami kecederaan kini dirawat di hospital," katanya. Beliau berkata pertembungan itu menyebabkan beberapa mangsa tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba.