Beliau berkata tempoh masa untuk menyiapkan draf rang undang-undang itu agak sukar untuk ditetapkan.
"Kita tak tahu dari segi jangka masanya sebab kita perhatikan banyak perkara yang berlaku dan mungkin boleh kita masukkan dalam rang undang-undang tersebut.
"Kita lihat dari segi kes-kes yang didakwa melalui sosial media...itupun boleh dianggap sebagai keharmonian. Tetapi sama ada ia sesuai atau tidak untuk dimasukkan dalam rang undang-undang itu perlu dikaji,," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Makan Malam Silaturahim sempena Aidilfitri anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) di sini, malam Isnin.
Nancy berkata pihak Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji dan masih lagi menerima input daripada pihak berkepentingan selain bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara untuk menghasilkan satu rang undang-undang yang komprehensif.
Beliau berkata perlukan masa untuk menyiapkan rang undang-undang berkenaan kerana ia melibatkan perkara-perkara yang berhubung kait dengan agama, bangsa dan kestabilan politik.
Sementara itu, mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa Peguam Negara solah-olah pilih kasih dalam pendakwaan berhubung kes menghina agama atau kaum di negara ini, Nancy berkata Peguam Negara bergantung kepada siasatan pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyiasat sesuatu kes itu bagi menentukan ia mempunyai merit dari segi undang-undang untuk didakwa atau tidak.