suria

Polis Nafi Buat Siasatan Secara Selektif

KUALA LUMPUR: Polis memandang serius tohmahan kononnya pihaknya menjalankan siasatan secara selektif isu-isu sensitif perkauman dan agama yang tersebar menerusi media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak pernah bersikap selektif dan dalam menjalankan siasatan polis tidak mengutamakan mana-mana kaum atau agama. Kelewatan menyiapkan siasatan sesuatu kes menimbulkan sangkaan yang polis bersikap selektif (memilih).

"Saya ingin menjelaskan bahawa tempoh yang diambil untuk melengkapkan sesuatu kertas siasatan adalah berbeza dan ia bergantung kepada banyak faktor, khususnya maklumat yang berjaya dikumpulkan.

"Dalam menangani kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang disebarkan melalui Facebook, polis harus mengambil tindakan untuk mengenal pasti pemilik sah akaun yang digunakan terlebih dahulu agar tindakan yang adil dapat dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau juga menjelaskan dalam kebanyakan situasi, akaun tersebut didaftarkan di luar negara di mana undang-undang Malaysia tidak boleh digunapakai. 

"Ia menyebabkan polis mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan forensik, terutamanya apabila pemilik mendakwa bahawa akaun mereka telah dicerobohi (hacked) oleh pihak ketiga. 

"Bagaimanapun masalah ini dapat diselesaikan dengan kerjasama agensi lain," katanya. 

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar tidak memainkan isu berbaur perkauman dan agama hingga boleh menggugat keharmonian kaum dan ketenteraman awam. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain