suria

Anak Tidak Sabar Tunggu Kepulangan Ibu Dari Sweden

Shalwati dan Azizul Raheem. (gambar fail).
KOTA BAHARU: "Saya harap dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ibu tahun depan," kata Aishah Azizul Raheem, anak sulung Shalwati Norshal yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden.

Beliau berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak sempurna tanpa kehadiran ibunya. 
 
"Saya sememangnya rindu ibu tetapi tahun ini dia tiada tetapi saya gembira sebab ada ayah," katanya.

Aishah, 14, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan di sini, hari ini.

Sementara itu, adik kepada Shalwati, Shaleena Norshal berkata kehadiran Azizul Raheem yang pulang ke Malaysia pada 15 Julai lalu setelah selesai menjalani hukuman penjara telah menceriakan suasana sambutan hari raya pada tahun ini.

"Memang mereka sedih masa hari raya tetapi apabila ada ayah mereka kesedihan itu hilang dan kita dapat lihat kegembiraan pada raut wajah mereka.
 
"Paling ketara adalah Ariff sebab dia paling bongsu dan rapat dengan ibu bapanya dan memang mereka tak sabar untuk tunggu kepulangan ibunya," katanya.

Katanya, Shalwati dijangka pulang ke Malaysia pada 2 Oktober ini selepas selesai menjalani hukuman penjara di Sweden.

Pada 29 Mac lepas, Azizul Raheem seorang Pegawai Tourism Malaysia dan Shalwati dijatuhi hukuman penjara kerana memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010.

Azizul Raheem, dibebaskan pada 9 Julai lalu selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden.

Manakala, Shalwati seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan masih menjalani hukuman berkenaan.

Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan dan mereka masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

Shalwati, Azizul Raheem

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain