BERA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota Umno perlu berani untuk mendepani perubahan dan bukannya mengikut perubahan jika mahu maju dan terus kekal relevan dalam pemikiran bukan sahaja orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia. Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ini kerana senario politik dan kedaan hari ini sudah jauh berubah dan tidak lagi sama seperti dalam tempoh 10 hingga 30 tahun yang lepas. Berikutan begitu banyak perubahan yang berlaku di negara ini, pemikiran rakyat Malaysia dan orang Melayu sendiri sudah banyak berubah, katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bera di sini Ahad. "Rupa anak-anak yang kita besarkan hari ini mungkin seolah-olah sama tetapi kebijaksanaan, cara berfikir dan apa yang kita dengar daripada mereka termasuk apabila adanya media sosial pada hari ini, masyarakat lebih terdedah kepada maklumat pada waktu yang sebenar. "Namun apa yang membimbangkan saya, masih ada sebahagian (anggota Umno) tidak menyedari zaman telah berubah, pemikiran dan pertuturan masyarakat tidak seperti dulu, mereka kini mahukan keadaan yang lebih baik dan pembaharuan," katanya. Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Umno Bahagian Bera yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin. Muhyiddin berkata, Umno perlu melihat keadaan itu sebagai cabaran dan melakukan perubahan untuk terus memastikan kelangsungan parti. "Zaman sekarang zaman susah, saya jumpa banyak pihak saya kata ambil ini sebagai satu cabaran. "Kalau kita tidak lihat ini sebagai pembaharuan, tidak melihat ini sebagai cabaran untuk mengekalkan relevansi Umno...maka nahas kita," katanya. Sehubungan itu, katanya, untuk mendepani perubahan tersebut, anggota Umno perlu menyelami apa yang ada dalam pemikiran bukan sahaja orang Melayu tetapi juga kaum lain di negara ini.